Kebangkitan "Empayar British Kedua" (1783–1815) Empayar British

Pemerintahan syarikat di India

Kemenangan Robert Clive dalam Perang Plassey menjadikan syarikat sebagai kuasa tentera dan komersil.

Dalam masa abad pertama operasi, fokus Syarikat India Timur adalah perdagangan, bukan membila empayar di India. Syarikat malahan tidak setanding di rantau tersebut dengan Empayar Mughal yang berkuasa,[24] yang membenarkan hak syarikat berdagang pada tahun 1617. Minat syarikat beralih daripada perdagangan kepada wilayah semasa kurun ke-18 ketika kemerosotan kuasa Empayar Mughal dan juga apabila Syarikat India Timur Inggeris bergelut dengan saingan dari Perancis, “La Companie française des Indes orientales", semasa Perang Karnatik di India tenggara pada tahun 1740an dan 1750an. Perang Plassey menyaksikan Inggeris yang dikepelai oleh Robert Clive mengalahkan Perancis dan sekutu Indianya, dan memberikan syarikat kawalan ke atas Bengal dan menjadi kuasa tentera dan politik di India. Dekad berikutnya menyaksikan syarikat meluaskan saiz wilayah di bawah kekuasaannya, sama ada memerintah secara langsung atau tidak langsung melalui pemimpin boneka tempatan. Penjajahan syarikat ke atas India lengkap pada tahun 1857.

Kehilangan tiga belas koloni di Amerika

Surrender of Cornwallis at Yorktown (John Trumbull, 1797). Askar Inggeris kedua yang menyerah kalah dalam empat tahun kepada pihak Amerika dan cubaan ketenteraan besar terakhir untuk mengambil kembali Koloni 13. Kehilangan koloni Amerika menandakan berakhirnya “Empayar British Pertama”

Semasa tahun 1760an dan 1770an, hubungan antara Koloni 13 dan Inggeris bertambah buruk terutamanya disebabkan ketidakpuasan hati terhadap cubaan Parlimen British untuk mentadbir dan mencukai kolonis Amerika tanpa kebenaran mereka[25] yang ditunjukkan melalui slogan “Tiada cukai tanpa perwakilan”.

Perbalahan mengenai hak-hak koloni Amerika bertukar menjadi ganas dan pada tahun 1775, Perang Revolusi Amerika tercetus. Tahun berikutnya, pihak koloni mengisytiharkan kemerdekaan dan dengan bantuan Perancis, memenangi perang tersebut pada tahun 1783.

Kehilangan besar koloni di Amerika yang pada masa itu merupakan koloni Britain yang mempunyai paling banyak penduduk, dilihat oleh ahli sejarah sebagai perubahan di antara Empayar “pertama” kepada “kedua”,[26] di mana Britain mengalih perhatiannya dari Amerika ke Asia dan kemudian Afrika. Adam Smith dalam bukunya, The Wealth of Nations yang diterbitkan pada tahun 1776, menulis bahawa koloni yang banyak tidak perlu, dan perdagangan bebas harus menggantikan polisi perdagangan lama yang digunakan pada masa awal penjajahan. Pertumbuhan perdagangan di antara Amerika Syarikat yang baru merdeka dan Britain selepas 1783[27] membuktikan pandangan Smith yang kuasa politik tidak perlu untuk mencapai kejayaan ekonomi.

Peristiwa di Amerika mempengaruhi polisi British di Kanada, yang menyaksikan penghijrahan yang ramai oleh mereka yang setia kepada Britain semasa Perang Revolusi. Akta Perlembagaan 1791 membahagikan Kanada kepada dua – bahagian atas yang kebanyakannya bercakap dalam bahasa Inggeris dan bahagian bawah yang majoritinya berbahasa Perancis untuk meredakan konflik di antara dua komuniti yang berbeza, dan melaksanakan sistem kerajaan yang sama di Britain bertujuan untuk memperkasakan kekuasaan mahkota dan tidak memberi ruang kepada kuasa rakyat yang dianggap pencetus kepada Revolusi Amerika. [28] Masa depan empayar British di Amerika Utara diancam seketika semasa perang pada tahun 1812 yang disebabkan oleh cubaan British mengawal perdagangan di Atlantik semasa Perang Napoleon, dan pada masa yang sama Amerika Syarikat juga gagal melebarkan sempadannya ke utara. Ini menjadi satu-satunya pengisytiharan formal perang di antara Britain dan Amerika Syarikat.

Di Pasifik

Sejak tahun 1718, pengangkutan ke koloni Amerika lebih kepada hukuman untuk jenayah yang dilakukan di Britain dengan lebih kurang 1,000 penjenayah diangkut setahun melalui Lautan Atlantik.[29] Dalam keadaan terpaksa mencari lokasi alternatif selepas kehilangan 13 Koloni pada tahun 1783, kerajaan British beralih kepada New South Wales yang baru dijumpai yang kemudiannya dikenal pasti sebagai satu benua besar New Holland yang dijumpai pada tahun 1606 oleh Belanda tetapi tidak dijajah, dan kemudian dinamakan semula Australia.

Pada tahun 1770, James Cook menjumpai persisiran pantai timur Australia dalam penjelajahan saintifiknya ke Pasifik Selatan dan menamakannya New South Wales. Pada tahun 1778, Joseph Banks yang merupakan ahli botani Cook dalam penjelajahan itu membentangkan bukti kepada kerajaan tentang kesesuaian kawasan itu sebagai tempat tinggal bagi penjenayah. Penghantaran pertama penjenayah bermula pada tahun 1787 dan sampai ke benua Australia pada tahun 1788. Matthew Flinders membuktikan New Holland (Australia) sebagai sebuah benua besar apabila berjaya mengelilinginya pada tahun 1803. Pada tahun 1826, Australia secara rasmi dituntut oleh United Kingdom dengan mendirikan pangkalan tentera dan kemudian sebuah koloni pada tahun 1829. Koloni ini kemudian mendirikan pentadbiran sendiri dan menjadi pengeksport bulu dan emas yang menguntungkan.

Dalam penjelajahannya, Cook juga melawat New Zealand yang pertama kali ditemui oleh kelasi Belanda pada tahun 1642. Kawasan utara dan selatan pulau ini masing-masing dituntut oleh British pada tahun 1769 dan 1770. Pada mulanya, interaksi di antara penduduk asli Maori dan bangsa Eropah terhad kepada perdagangan barangan. Tetapi peningkatan penempatan bangsa Eropah oleh mubaligh Kristian dan pedagang semasa awal tahun 1800an membawa kepada Perjanjian Waitangi yang ditandatangani oleh Maori. Dengan perjanjian ini New Zealand secara rasmi berada di bawah kawalan Britain. Walaupun perjanjian ini dianggap sebagai dokumen penubuhan New Zealand, ianya masih menjadi perdebatan sehingga kini kerana pentafsiran berlainan oleh banyak pihak.

Pemansuhan perhambaan

Di bawah tekanan berterusan gerakan memansuhkan perhambaan, United Kingdom mengharamkan perdagangan hamba pada tahun 1807 dan kemudian menguatkuasakan ke atas negara lain. Pada pertengahan kurun ke-19, United Kingdom berjaya menghapuskan sebahagian besar daripada perdagangan hamba di dunia. Akta Pemansuhan Perhambaan 1833 mengharamkan bukan saja perdagangan hamba tetapi juga perhambaan diluluskan pada tahun 1833 dan menjadi undang-undang pada 1 Ogos 1834.

Perang Napoleon dengan Perancis

Pertempuran Waterloo menandakan berakhirnya Perang Napoleon dan bermulanya Pax Britannica.

Britain dicabar lagi oleh Perancis di bawah Napoleon, dan tidak seperti perang sebelumnya, perang ini merupakan perang ideologi di antara dua negara.[30] Bukan kedudukan Britain di pentas dunia sahaja yang terancam. Napoleon mengancam melanggar Britain seperti mana tenteranya menyerang negara lain di Eropah.

Perang Napoleon merupakan satu daripada perang di mana Britain banyak menghabiskan wang dan sumber untuk menang. Pelabuhan-pelabuhan Perancis dikepung oleh Tentera Mahkota Britain yang berjaya mengalahkan armada Perancis dalam Pertempuran Trafalgar pada tahun 1805. Koloni-koloni di luar negara diserang dan diambil alih termasuk yang dipunyai oleh Belanda, yang dirampas oleh Napoleon pada tahun 1810. Perancis akhirnya dikalahkan oleh tentera campuran Eropah pada tahun 1815. Britain dan empayarnya sekali lagi mendapat manfaat daripada perjanjian damai. Perancis menyerahkan Kepulauan Ionia dan Malta (yang dirampas pada tahun 1797 dan 1798), St Lucia dan Mauritius. Sepanyol menyerahkan Trinidad dan Tobago, Guyana dan Cape Colony. Britain menyerahkan kembali Guadeloupe dan Reunion kepada Perancis, dan Pulau Jawa dan Surinam kepada Belanda.